Showing posts with label Parlimen. Show all posts
Showing posts with label Parlimen. Show all posts

Wednesday, July 2, 2008

Jadual perlawanan jejas prestasi bola sepak negara

Harakah (3/7/08): Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat mengkaji semula jadual perlawanan Liga Super dan Liga Malaysia.

Sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-9 di Dewan Rakyat semalam, beliau menyentuh jadual padat perlawanan yang menjadi salah satu faktor merosotnya mutu permainan pasukan bola sepak tempatan.

"Kita menyedari apabila sesuatu pasukan menjuarai kejohanan, jadual yang cukup padat mengakibatkan pemain-pemain terlalu letih dan tidak mendapat rehat yang cukup.

"Saya mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan bekerjasama dengan Jabatan Sains Sukan mengambil kira bukan sahaja pemakanan dan penginapan sahaja, bahkan jadual juga mesti diambil kira.

Kalaulah begini, maka yang menjadi mangsa adalah pasukan yang juara. Pasukan yang dapat meneruskan perlawanan, terpaksa berhadapan dengan jadual yang cukup ketat, dan padat," katanya yang kerap menerima rintihan pemain-pemain bola.

Dalam pada itu katanya, isu rasuah yang sering berlaku dalam permainan bola sepak pasukan negeri juga harus dibendung.

"Persatuan bola sepak negeri yang gagal membayar gaji dengan baik mengakibatkan pemain-pemain tempatan mahupun pemain luar sudah mula mencari makan dengan cara haram, akhirnya mereka sanggup menjual perlawanan sebagai rasuah.

"Ini menyebabkan minat dan sokongan rakyat terhadap mutu bola sepak tempatan menjadi pudar dan Kementerian Belia dan Sukan mesti merancang bagaimana hendak menjadikan sukan bola sepak ini diminati masyarakat," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat merangka program yang dapat menyelamatkan golongan belia dari terjebak dengan perkara yang tidak sihat.

"Dibimbangi kita bukan sahaja melahirkan graduan daripada universiti tetapi dalam tempoh yang sama kita juga melahirkan banduan-banduan terancang; kita gagal mengatasi masalah sosial yang sedang melanda negara," katanya.

Dalam ucapannya juga, Firdaus mendesak kerajaan mengkaji semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilihat semakin membebankan pelajar.

Katanya kerajaan seharusnya menyediakan peluang pekerjaan bagi para graduan ataupun membantu menyediakan latihan dan peluang perniagaan untuk golongan terbabit.

"Kerajaan jangan sekadar melihat bilakah pelajar ini akan membayar pinjaman PTPTN. Kita melihat rakyat hari ini mengadu bagaimana alasan kami nak beri kerana tidak mampu membayar hutang PTPTN yang makin hari makin menambah," katanya.

Selain itu beliau juga melahirkan kebimbangan tentang pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang tetapi gagal mendapat pekerjaan kerana tidak memiliki kelulusan yang baik.

Sehubungan itu beliau mengharapkan Kementerian Sumber Manusia memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kemahiran yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Tuesday, July 1, 2008

Wakil PAS bimbang Kementerian hanya tumpu sukan, sisihkan belia

Harakah (15/5/08): Mohamad Firdaus Jaafar(PAS-Jerai) melahirkan kebimbangannya tentang nasib belia di negara ini yang didapati banyak terjebak dengan masalah sosial dan tanggung jawab Kementerian Belia dan Sukan ke atas golongan ini.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan seharusnya bukan hanya sekadar memikirkan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa sebaliknya 'mencemar duli' turun ke kampung dan desa untuk melihat keadaan sebenar golongan muda yang pada hari ini banyak terjebak dengan masalah sosial.

Tegasnya, kementerian seharusnya melihat pembinaan generasi muda hari ini mengikut lunas-lunas ilmu dan ketakwaan yang membebaskan mereka daripada perkara yang boleh menghancurkan masa depan mereka.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan perbahasan titah Yang DiPertuan Agung malam tadi. Beliau antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diberi peluang berucap dalam perbahasan yang dilanjutkan hampir 12 tengah malam tadi.

Firdaus dalam ucapannya turut menyentuh mengenai persatuan belia di Malaysia yang dilihat semakin berkurangan.

Jelasnya, 1191 persatuan belia di Malaysia ini tidak mungkin membolehkan Persatuan Belia lebih aktif bagi menyelamatkan golongan belia yang keadaannya cukup kritikal.

"Kenapa dan mengapa golongan belia kurang minat dengan persatuan belia? Apakah cadangan pihak kementerian untuk memenangi jiwa belia agar mereka berasa 'kasih' dan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang ada di negara kita?" soalnya.

Sementara itu dalam ucapannya Firdaus turut menggesa Kementerian Pengangkutan agar mempercepatkan bayaran pampasan ke atas 144 buah rumah yang berada di atas tapak milik KTM Berhad bagi projek keretapi laju di Gurun.

Parlimen riuh dengan ungkapan "Babi Negara"

Harakah (12/5/08): Dewan Rakyat hari ini riuh dengan ungkapan "babi negara" apabila Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menolak akronim yang diberikan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa PKR itu adalah singkatan kepada "projek khinzir raksasa".

"Bukan projek khinzir raksasa (PKR) tetapi projek 'babi negara' (BN)," Ahli Parlimen Pokok Sena itu meningkah.

Selepas itu dewan riuh dengan perkataan "BN, babi negara" sehingga menyebabkan timbul cabaran siapa yang menyebut perkataan itu termasuk dari Khairy sendiri yang kedengaran marah dengan perkataan "babi negara" itu.

Selepas keriuhan agak berkurangan, Mahfuz bangun lagi dan menjelaskan bahawa "bukan 'projek khinzir raksasa' (PKR) tetapi projek 'babi negara' (BN)".

Mahfuz juga meminta Khairy berucap di hadapan kanak-kanak tadika dan bukan di dalam Dewan Rakyat.

Mahfuz berkata demikian apabila menantu Perdana Menteri itu enggan memberi laluan kepada Ahli-Ahli Parlimen lain yang meminta penjelasan.

Ucapan Khairy yang diselang-selikan dengan hentaman terhadap pembangkang diganggu hampir sepanjang masa apabila beliau enggan memberi laluan untuk penjelasan.

Antara yang bangun meminta penjelasan ialah Mahfuz sendiri; Bendahari PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai, Dr Mohd Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Abd Samad; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum; Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Ja'afar; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin; Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh; Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun (Jeff Ooi) dan ramai lagi.

Khalid kedengaran berkata; "Kalau tak nak bagi laluan (untuk meminta penjelasan), jangan tanya soalan".

Ketika bangun meminta penjelasan, Mahfuz, Khalid dan Jeff Ooi sentiasa dilihat tersenyum seolah-olah begitu geli hati dengan gelagat Khairy yang terjerit-jerit dan termengah-mengah untuk menghabiskan ucapannya di tengah-tengah gangguan yang tidak putus-putus itu.

Begitupun, mereka tidak juga diberi laluan oleh Khairy.

Menurut laporan blogger Roslan SMS, dalam ucapan sulungnya di Dewan Rakyat itu, antara lain Khairy menuduh Penasihat KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manusia lidah bercabang manakala PAS pula hilang taring, umpama singa hilang taring, kerana tidak berani menjawab soalan beliau minggu lalu mengenai "kontrak sosial".

Beliau juga menuduh perjuangan negara Islam sudah tidak disebut langsung oleh PAS kerana takutkan DAP.

Khairy sebelum ini dituduh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kekalahan BN.

Harakahdaily
Malaysiakini

Malaysiakini

Kedah

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP