Wednesday, July 2, 2008

Anak-anak Jerai di perantauan

Anak-anak Jerai di perantauan dan para siswazah yang berasal dari Jerai, sama ada yang tinggal di Jerai atau di perantauan, dijemput menghubungi Ahli Parlimen Jerai. Diharap hubungi segera puncakjerai@gmail.com

Jadual perlawanan jejas prestasi bola sepak negara

Harakah (3/7/08): Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat mengkaji semula jadual perlawanan Liga Super dan Liga Malaysia.

Sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-9 di Dewan Rakyat semalam, beliau menyentuh jadual padat perlawanan yang menjadi salah satu faktor merosotnya mutu permainan pasukan bola sepak tempatan.

"Kita menyedari apabila sesuatu pasukan menjuarai kejohanan, jadual yang cukup padat mengakibatkan pemain-pemain terlalu letih dan tidak mendapat rehat yang cukup.

"Saya mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan bekerjasama dengan Jabatan Sains Sukan mengambil kira bukan sahaja pemakanan dan penginapan sahaja, bahkan jadual juga mesti diambil kira.

Kalaulah begini, maka yang menjadi mangsa adalah pasukan yang juara. Pasukan yang dapat meneruskan perlawanan, terpaksa berhadapan dengan jadual yang cukup ketat, dan padat," katanya yang kerap menerima rintihan pemain-pemain bola.

Dalam pada itu katanya, isu rasuah yang sering berlaku dalam permainan bola sepak pasukan negeri juga harus dibendung.

"Persatuan bola sepak negeri yang gagal membayar gaji dengan baik mengakibatkan pemain-pemain tempatan mahupun pemain luar sudah mula mencari makan dengan cara haram, akhirnya mereka sanggup menjual perlawanan sebagai rasuah.

"Ini menyebabkan minat dan sokongan rakyat terhadap mutu bola sepak tempatan menjadi pudar dan Kementerian Belia dan Sukan mesti merancang bagaimana hendak menjadikan sukan bola sepak ini diminati masyarakat," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat merangka program yang dapat menyelamatkan golongan belia dari terjebak dengan perkara yang tidak sihat.

"Dibimbangi kita bukan sahaja melahirkan graduan daripada universiti tetapi dalam tempoh yang sama kita juga melahirkan banduan-banduan terancang; kita gagal mengatasi masalah sosial yang sedang melanda negara," katanya.

Dalam ucapannya juga, Firdaus mendesak kerajaan mengkaji semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilihat semakin membebankan pelajar.

Katanya kerajaan seharusnya menyediakan peluang pekerjaan bagi para graduan ataupun membantu menyediakan latihan dan peluang perniagaan untuk golongan terbabit.

"Kerajaan jangan sekadar melihat bilakah pelajar ini akan membayar pinjaman PTPTN. Kita melihat rakyat hari ini mengadu bagaimana alasan kami nak beri kerana tidak mampu membayar hutang PTPTN yang makin hari makin menambah," katanya.

Selain itu beliau juga melahirkan kebimbangan tentang pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang tetapi gagal mendapat pekerjaan kerana tidak memiliki kelulusan yang baik.

Sehubungan itu beliau mengharapkan Kementerian Sumber Manusia memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kemahiran yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

PAS Padang Besar anjur Ijtimak kawasan

Harakah (6/2/08): PAS Padang Besar akan menganjurkan Ijtimak PAS Kawasan pada 9 dan 10 Februari akan datang.

Program julung-julung kali ini bakal diadakan di tapak kompleks PAS Kawasan Padang Besar, Bukit Kerang, Jalan Bukit Keteri (bersebelahan Taman Melati Indah) dekat sini.

Menurut Setiausaha PAS KAwasan, Ustaz Yahya Ahmad, ijitmak ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan semangat juang para ahli khusus bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 akan datang.

"Kita juga mahu melihat sejauhmanakah kesediaan dan kemantapan jentera kita," katanya.

Menurutnya, pada pagi 9 Februari, program motivasi untuk jentera pilihan raya akan diadakan dan disampaikan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Firdaus Jaafar.

Selain itu pelbagai aktiviti menarik akan diadakan melibatkan semua jentera Pemuda, Muslimat, Ulama dan Dun-dun di dalam kawasan Padang Besar.

Antaranya ialah , pertandingan bolasepak, taman selera, khidmat kesihatan percuma, persembahan qasidah dan pertunjukan ular.

Pada malamnya pula akan diadakan majlis makan malam bersama pemimpin dan majlis perasmian oleh Pesuruhjaya PAS Perlis,Ustaz Hashim Jasin. Seterusnya ceramah oleh Exco Kerajaan Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Pada 10 Februari pula, aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan ialah qiamullail, sukan Pasti, Explorace Pemuda, sukaneka Muslimat dan pertandingan sepakraga.

Pada malamnya pula, ceramah akan disampaikan oleh Ustaz Taib Azamuddin bersama-sama Exco DPPP, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Seluruh lapisan masyarakat dijemput beramai-ramai hadir memeriahkan program tersebut. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Daud Hassan (04-9764278).

Pemuda Kedah anjur 'road show' himpunan 100 ribu rakyat

Harakah (25/10/07): Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK), akan mengedarkan 10 ribu keping pelekat kenderaan secara percuma serta mengadakan tiga road show perdana ke arah mendapatkan seramai mungkin peserta di negeri ini untuk bersama dalam 'Himpunan Aman 100 ribu Rakyat' pada 10 November nanti di Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan DPPNK, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar memberitahu, pihaknya menyedari jumlah 10 ribu pelekat kenderaan itu amat tidak memadai, tetapi sekurang-kurangnya 10 ribu kenderaan yang mempunyai pelekat tersebut akan membantu menyebarkan tarikh bersejarah itu di seluruh negeri Kedah.

Selain itu katanya, tiga road show perdana bakal berlangsung di tiga tempat iaitu Sungai Petani, Baling dan Alor Star bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai himpunan 10 November dan mengajak seramai mungkin rakyat untuk bersama dalam program tersebut.

Menurut beliau, AJK PAS Pusat, Haji Amiruddin Hamzah dan Ustaz Mohd. Taib Azzamuddin bersama Presiden Teras, Haji Azmi Abdul Hamid akan bersama rakyat di Sungai Petani pada 31 Oktober ini selain penglibatan NGO termasuk, Abim, Jim dan beberapa persatuan lain.

Sementara itu pada 4 November bertempat di Baling, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Mohd Hasan Ali akan bersama Timbalan Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Yahya dalam siri kedua road show ini.

Terakhir, Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar akan digandingkan bersama Ketua DPPNK dan Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Mohd. Nasir Mustafa akan menyampaikan ceramah berkenaan himpunan aman 10 November ini di Alor Star.

Pemuda PAS Kedah lancar 'Kempen Mesra Pemandu Bas'

Harakah (27/8/07): Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah melancarkan kempen 'Mesra Pemandu Bas' serentak di dua buah lokasi iaitu Perhentian bas Shahab Perdana, Alor Star dan Perhentian Bas Persiaran Sungai Petani semalam.

Kempen yang dilancarkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Firdaus Jaafar selain dari memberi kesedaran kepada semua pemandu bas ia juga mempamerkan kepekaan PAS terhadap sambutan kemerdekaan yang ke-50 negara dengan mengedarkan risalah kemerdekaan kepada umum.

Ahli-ahli PAS dari lima buah kawasan berkumpul di perhentian bas persiaran Sungai Petani semalam dan antaranya, Baling, Jerai, Sik, Merbuk dan Sungai Petani dengan melibatkan 100 orang jentera parti.

Menurut Ustaz Firdaus, semua pemandu bas dibekalkan air minuman, kacang dan coklat sebagai santapan ringan untuk menghilangkan mengantuk.

Program julung kali diadakan itu juga bermatlamat memberi isyarat bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak kerana kemalangan boleh berlaku bukan sahaja disebabkan kelalaian pemandu bahkan juga faktor cuaca ataupun keadaan jalan.

"Lima kawasan PAS berkumpul di perhentian bas persiaran Sungai Petani malam ini dan insya-Allah akan melakukan kerja amal ini di setiap kali perayaan besar negara. Ini kerana, tragedi kerap berlaku pada waktu itu akibat beberapa kecuaian atau pun faktor jalan raya, " ujarnya.

Beliau tidak menafikan, wujud perasaan terkejut di kalangan pemandu bas kerana projek pertama kali ini namun selepas memberikan sedikit penerangan mereka menerima dengan hati yang lapang termasuk pemandu bukan Islam.

Sarannya kepada semua pemuda PAS seluruh negara agar bingkas bangun menjadi duta penyelamat dengan melaksanakan program sedemikian ekoran kejadian yang menyayat hati yang membabitkan banyak nyawa manusia terkorban.

"Bukan sahaja kita berikan sedikit santapan ringan kepada pemandu bas bahkan kita berdoa dalam bas untuk sejahteraan dalam perjalanan, " tegasnya beliau.

Bersama menjayakan program semalam ialah Setiausaha Lajnah Penerangan Pemuda PAS Kedah, Muzaini Azizan.

Tuesday, July 1, 2008

Pemuda PAS Perlis diseru perkukuhkan parti

Harakah (27/6/08): Pemuda PAS perlu memperkasakan parti sebagai satu persediaan untuk menjadi sebuah kerajaan memerintah di dalam negeri ini, seru Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohd Firdaus Ja'afar.

"Apabila jentera parti kita sudah kukuh, barulah kita mampu membina sebuah kerajaan yang kukuh. Seperti kami di Kedah, kami berjaya membentuk jentera yang kukuh untuk membolehkan kita menang dan memerintah.

"Begitu juga di Perlis, PAS kena kukuh barulah PAS boleh memerintah kerana kekuatan sesebuah kerajaan itu juga bertunjang kepada kekuatan parti yang memerintah," katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Perlis kali ke-33 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADI dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pemuda PAS perlu menjadikan kerja politik sebagai kerja utama dan sentiasa bermuhasabah tentang pemahaman politik dengan menyusun langkah untuk memimpin kerja-kerja bagi meyakinkan rakyat untuk menyokong PAS.

Di samping itu katanya, pemuda PAS perlu melayani dunia golongan muda tanpa rasa janggal untuk menjiwai jiwa mereka.

"Tak rugi bila kita faham politik Islam dan tak rugi kita belajar ilmu politik sebab negara ini perlu diurus tadbir oleh mereka yang mempunyai kefahaman politik Islam.

"Untuk itu, pemuda PAS haruslah mempersiapkan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menzahirkan diri sebagai orang muda dalam PAS untuk menjadi Duta Penyelamat dan Kasih Sayang," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Wakil PAS bimbang Kementerian hanya tumpu sukan, sisihkan belia

Harakah (15/5/08): Mohamad Firdaus Jaafar(PAS-Jerai) melahirkan kebimbangannya tentang nasib belia di negara ini yang didapati banyak terjebak dengan masalah sosial dan tanggung jawab Kementerian Belia dan Sukan ke atas golongan ini.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan seharusnya bukan hanya sekadar memikirkan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa sebaliknya 'mencemar duli' turun ke kampung dan desa untuk melihat keadaan sebenar golongan muda yang pada hari ini banyak terjebak dengan masalah sosial.

Tegasnya, kementerian seharusnya melihat pembinaan generasi muda hari ini mengikut lunas-lunas ilmu dan ketakwaan yang membebaskan mereka daripada perkara yang boleh menghancurkan masa depan mereka.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan perbahasan titah Yang DiPertuan Agung malam tadi. Beliau antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diberi peluang berucap dalam perbahasan yang dilanjutkan hampir 12 tengah malam tadi.

Firdaus dalam ucapannya turut menyentuh mengenai persatuan belia di Malaysia yang dilihat semakin berkurangan.

Jelasnya, 1191 persatuan belia di Malaysia ini tidak mungkin membolehkan Persatuan Belia lebih aktif bagi menyelamatkan golongan belia yang keadaannya cukup kritikal.

"Kenapa dan mengapa golongan belia kurang minat dengan persatuan belia? Apakah cadangan pihak kementerian untuk memenangi jiwa belia agar mereka berasa 'kasih' dan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang ada di negara kita?" soalnya.

Sementara itu dalam ucapannya Firdaus turut menggesa Kementerian Pengangkutan agar mempercepatkan bayaran pampasan ke atas 144 buah rumah yang berada di atas tapak milik KTM Berhad bagi projek keretapi laju di Gurun.

Harakahdaily
Malaysiakini

Malaysiakini

Kedah

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP