Tuesday, July 1, 2008

Pemuda PAS Perlis diseru perkukuhkan parti

Harakah (27/6/08): Pemuda PAS perlu memperkasakan parti sebagai satu persediaan untuk menjadi sebuah kerajaan memerintah di dalam negeri ini, seru Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohd Firdaus Ja'afar.

"Apabila jentera parti kita sudah kukuh, barulah kita mampu membina sebuah kerajaan yang kukuh. Seperti kami di Kedah, kami berjaya membentuk jentera yang kukuh untuk membolehkan kita menang dan memerintah.

"Begitu juga di Perlis, PAS kena kukuh barulah PAS boleh memerintah kerana kekuatan sesebuah kerajaan itu juga bertunjang kepada kekuatan parti yang memerintah," katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Perlis kali ke-33 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADI dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pemuda PAS perlu menjadikan kerja politik sebagai kerja utama dan sentiasa bermuhasabah tentang pemahaman politik dengan menyusun langkah untuk memimpin kerja-kerja bagi meyakinkan rakyat untuk menyokong PAS.

Di samping itu katanya, pemuda PAS perlu melayani dunia golongan muda tanpa rasa janggal untuk menjiwai jiwa mereka.

"Tak rugi bila kita faham politik Islam dan tak rugi kita belajar ilmu politik sebab negara ini perlu diurus tadbir oleh mereka yang mempunyai kefahaman politik Islam.

"Untuk itu, pemuda PAS haruslah mempersiapkan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menzahirkan diri sebagai orang muda dalam PAS untuk menjadi Duta Penyelamat dan Kasih Sayang," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai.

0 comments:

Harakahdaily
Malaysiakini

Malaysiakini

Kedah

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP