Harakah (3/7/08): Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat mengkaji semula jadual perlawanan Liga Super dan Liga Malaysia.
Sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-9 di Dewan Rakyat semalam, beliau menyentuh jadual padat perlawanan yang menjadi salah satu faktor merosotnya mutu permainan pasukan bola sepak tempatan.
"Kita menyedari apabila sesuatu pasukan menjuarai kejohanan, jadual yang cukup padat mengakibatkan pemain-pemain terlalu letih dan tidak mendapat rehat yang cukup.
"Saya mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan bekerjasama dengan Jabatan Sains Sukan mengambil kira bukan sahaja pemakanan dan penginapan sahaja, bahkan jadual juga mesti diambil kira.
Kalaulah begini, maka yang menjadi mangsa adalah pasukan yang juara. Pasukan yang dapat meneruskan perlawanan, terpaksa berhadapan dengan jadual yang cukup ketat, dan padat," katanya yang kerap menerima rintihan pemain-pemain bola.
Dalam pada itu katanya, isu rasuah yang sering berlaku dalam permainan bola sepak pasukan negeri juga harus dibendung.
"Persatuan bola sepak negeri yang gagal membayar gaji dengan baik mengakibatkan pemain-pemain tempatan mahupun pemain luar sudah mula mencari makan dengan cara haram, akhirnya mereka sanggup menjual perlawanan sebagai rasuah.
"Ini menyebabkan minat dan sokongan rakyat terhadap mutu bola sepak tempatan menjadi pudar dan Kementerian Belia dan Sukan mesti merancang bagaimana hendak menjadikan sukan bola sepak ini diminati masyarakat," katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat merangka program yang dapat menyelamatkan golongan belia dari terjebak dengan perkara yang tidak sihat.
"Dibimbangi kita bukan sahaja melahirkan graduan daripada universiti tetapi dalam tempoh yang sama kita juga melahirkan banduan-banduan terancang; kita gagal mengatasi masalah sosial yang sedang melanda negara," katanya.
Dalam ucapannya juga, Firdaus mendesak kerajaan mengkaji semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilihat semakin membebankan pelajar.
Katanya kerajaan seharusnya menyediakan peluang pekerjaan bagi para graduan ataupun membantu menyediakan latihan dan peluang perniagaan untuk golongan terbabit.
"Kerajaan jangan sekadar melihat bilakah pelajar ini akan membayar pinjaman PTPTN. Kita melihat rakyat hari ini mengadu bagaimana alasan kami nak beri kerana tidak mampu membayar hutang PTPTN yang makin hari makin menambah," katanya.
Selain itu beliau juga melahirkan kebimbangan tentang pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang tetapi gagal mendapat pekerjaan kerana tidak memiliki kelulusan yang baik.
Sehubungan itu beliau mengharapkan Kementerian Sumber Manusia memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kemahiran yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.